Selasa, 13 April 2010

BENDERA JOHOR BERDAULAT


Bendera Johor sangat berdaulat. Di zaman penjajah, bendera tersebut sentiasa dikibarkan lebih tinggi daripada Union Jack - bendera British. Inilah hikmah kebijaksanaan kesultanan Johor untuk mempastikan kedaulatan sultan dan bumi Johor sentiasa dipelihara dan dipertahankan, waimah di era penjajahan.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita hayati falsafah di sebalik simbol bintang bulan dan warna-warna pada bendera Johor.

Simbol anak bulan dan bintang yang berwarna putih melambangkan Agama Islam dan kesultanan Johor yang berdaulat. Warna merah melambangkan keperwiraan rakyat jelata Johor yang mempertahankan negeri. Warna biru tua pula mencerminkan kesejagatan kerajaan negeri.

Dalam ertikata yang mudah, bendera Johor adalah lambang kedaulatan DYMM Sultan Johor, keperwiraan rakyat jelata Johor dan kesejagatan kerajaan negeri Johor. Lebih jelas lagi, bendera Johor adalah lambang yang merangkumkan institusi kesultanan, rakyat jelata dan kerajaan negeri.

Hasil kebijaksanaan kesultanan Johor, pada 1885, United Kingdom setuju menandatangani satu perjanjian dengan Johor di mana negeri itu diiktiraf sebagai sebuah negeri merdeka yang mampu mengendalikan pentadbiran sendiri. Sebab itulah pegawai tinggi British yang ditugaskan ke Johor hanya bertindak sebagai konsultan, bukannya penasihat, seperti di lain-lain negeri di Tanah Melayu ketika itu.

Dan sebab itulah juga kesultanan Johor ketka itu boleh memilih untuk mengenepikan pandangan pegawai tinggi British dalam pengurusan negeri berkenaan di era penjajah.

Kedua-dua faktor di ataslah yang membolehkan bendera Johor dikibarkan lebih tinggi daripada Union Jack di zaman kolonialis. Ini bermakna bahawa kedaulatan sultan Johor dan bumi Johor sentiasa dihormati oleh British walaupun di zaman penjajah.

Lantaran itu, rakyat jelata Johor wajar berbangga dengan hakikat di atas. Mereka juga perlu menghargai kebijaksanaan kesultanan Johor yang mempertahankan dan memelihara kedaulatan dan maruah bumi Johor di era penjajah.

Oleh kerana sesuatu bendera itu melambangkan perpaduan sesuatu kelompok manusia dari semua latarbelakang kehidupan di dalam sesebuah negeri atau negara, mengapakah harus ada rakyat Johor yang kurang bersemangat untuk mengibarkan bendera Johor dan bendera Malaysia menjelang sambutan kemerdekaan ke-50?

Insaflah, kalau kesultanan Johor sentiasa memelihara dan mempertahankan kedaulatan bumi Johor dan rakyat jelatanya di era penjajah, menerusi bendera Johor yang dikibarkan lebih tinggi daripada Union Jack, tidakkah rakyat Johor hari ini rasa terpanggil untuk terus mempertahankan kedaulatan kesulatanan dan bumi Johor mutakhir daripada sebarang ganggu-gugat oleh mana-mana pihak?

Kibarkanlah bendera Johor dengan penuh semangat dan rasa cinta, kasih dan sayang yang total kepada Johor. Kibarkanlah juga bendera Malaysia atas dorongan semangat yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan